Monday, 4 March 2013

Pengiraan tempoh hamil sehingga bercerai susu

Pengiraan tempoh hamil sehingga bercerai susu:-
Artikel ini walid tulis sebagai panduan Ummi dalam pengiraan tempoh menyusukan anak. Banyak pendapat yang ditemui di internet. Namun yang sahih dan menurut islam harus diutamakan. Inshaa Allah selagi kita yakin semuanya akan selamat.

Allah berfirman: { وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

Maka, sekiranya tempoh mengandung adalah selama 9 bulan (anggaran) maka tempoh penyusuannya adalah selama 21 bulan ( 1 tahun 9 bulan)

Bagaimanakah pula masa minimum hamil dan maksimum penyusuan?.

Firman Allah lagi: { وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ }

Maksudnya: “Ðan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah Al-Baqarah 2: 233)

Daripada ayat ini menyatakan tempoh menyusu yang paling lama adalah 2 tahun genap iaitu 24 bulan. Maka tempoh hamilnya yang paling singkat adalah (30-24) 6 bulan.

Sebenarnya orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat tersebut ialah Saidina Ali r.a. yang kemudiannya dipersetujui oleh ‘Uthman r.a. bersama para sahabat Nabi SAW. Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab “As-Sirah” meriwayatkan daripada Ma‘mar ibn ‘Abdullah Al-Juhaniy yang berkata:

“Ada seorang lelaki dari kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhaynah. Wanita itu melahirkan anak setelah perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui ‘Uthman radhiyallahu ‘anh untuk menceritakan perkara tersebut. Selepas itu, ‘Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya, dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis. Lalu wanita itu berkata kepadanya, “Mengapa kamu menangis? Ðemi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah subhanahu wata‘ala yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah subhanahu wata‘ala pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendak-Nya.”Ketika wanita itu ditempatkan di hadapan ‘Uthman, maka ‘Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh ‘Ali, beliau pun menemui ‘Uthman lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan?” ‘Uthman pun menjawab: “Wanita itu bersalin setelah usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku.” ‘Ali pun berkata kepadanya: “Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?” “Tentu”, jawab ‘Uthman. ‘Ali pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah subhanahu wata‘ala berfirman:“Mengandungnya sehingga memutuskan susu itu selama 30 bulan.” Firman-Nya pula: “... selama enam bulan penuh.” Kamu dapati bakinya hanya enam bulan. Kemudian ‘Uthman pun berkata: “Ðemi Allah, aku tidak berfikiran sejauh itu. Bawalah ke mari wanita itu.” Ternyata wanita itu benar-benar telah dipersiapkan untuk menerima hukuman.” Ma‘mar pun berkata: “Ðemi Allah, tidak ada gagak yang serupa gagak, dan tidak ada telur yang serupa telur sehingga melebihi persamaan anak itu dengan bapanya.” Ketika ayahnya tahu, beliau pun berkata: “Anakku, demi Allah, aku tidak ragu mengenainya.”

Ðiriwayatkan juga bahawa Ibn ‘Abbas berpendapat apabila ada wanita yang bersalin setelah mengandung sembilan bulan, maka cukuplah baginya untuk menyusui anaknya selama 21 bulan. Seterusnya apabila wanita itu bersalin setelah mengandungkan anaknya selama tujuh bulan, hendaklah dia cukupkan baginya untuk menyusui anaknya selama 23 bulan. Begitu juga apabila dia bersalin setelah mengandung selama enam bulan, hendaklah dia menyusui anaknya selama dua tahun secara genap.

Bagi yang nak menyusukan lebih dari dua tahun atau kurang dari dua tahun. Berdasarkan Firman Allah SWT: surah al-Baqarah: 233:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Ðan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama sempurna dua tahun, bagi sesiapa yang menyempurnakan susuan.”

Ayat ini hanya berupa bimbingan dan bukan menunjukkan suatu kewajipan yang membawa dosa jika menyalahinya.

Al-Imam al-Qurtubiy ketika menafsirkan ayat 233 dari surah al-Baqarah di atas menyatakan: “Tambahan lebih dari dua tahun (menyusukan anak) atau menguranginya (tempoh tersebut), boleh jika tidak ada kemudharatan kepada bayi dan dengan kerelaan suami dan isteri.”

Cuma ada sebahagian ulama seperti Ibn 'Asyur (ابن عاشور) yang berpandangan tidak perlu ditambah susuan lebih dari dua tahun, kerana perbuatan ini tidak ada keperluan lagi.

firman Allah SWT yang bermaksud, “Ðan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman 14)

Sunday, 3 March 2013

Thaqif Irfan kini 44 hari



Seperti biasa bila azan berkumandang maka celiklah mata anak kecil ini memandang sekitar dan bila tiada yang bersembang dengannya maka dari matanya turunlah ke mulutnya. Menangis meminta perhatian dan biasanya umminya yang akan bangun dan memberikannya susu. Walid akan segera mandi dulu dan kemudian umminya pula. Tugas menjaga dan bersembang dengan Irfan walid akan ambil alih . Begitu juga sebaliknya sekiranya ummi yang mandi dulu, tetapi walid taklah boleh menyusukan irfan, cuma kalau Irfan merengek walid akan berselawat sambil berjalan-jalan dalam rumah.. Behitu juga dengan  cara menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah.

Sejak ada Irfan ni alhamdulillah walid dah semakin berdisiplin jika dibandingkan dengan kehidupan semasa berdua dan lagi teruk jika dibandingkan dengan zaman bujang. Itulah antara hikmah dijadikan perkahwinan ini sebagai satu platform sebagai muslim memilih untuk menuju ke syurga. Zaman bujang apabila terjaga semasa subuh, masa tu dianggap terlalu awal jadi akan tidur balik. Semasa berdua apabila terjaga masa subuh, dengan liatnya akan bangun dan bersiap. Sementara menunggu masa untuk ke tempat kerja sempat lagi buka internet, tengok TV, bersembang dengan isteri dan kadang-kadang sempat memasak. Perubahan berlaku apabila telah ada cahaya mata, masa kena di atur dengan lebih baik agar semuanya berjalan lancar.

Selepas selesai bersembahyang dan mengaji, biasanya walid akan memasak air untuk mandian si kecil. Sebelum ni walid sediakan sekali air panas untuk ummi yang tengah berpantang tetapi kini tidak perlu kata ummi sebab ummi dah boleh mandi air biasa. Sambil menunggu air masak, walid akan menyelak langsir pintu dan tingkap agar udara segar boleh masuk sekaligus mengharapkan kerahmatan subuh hari mensejahterai kehidupan seisi rumah. Seluar,Baju, lampin, barut dan stokin Irfan dalam baldi di bilik mandi utama yang ummi kumpulkan walid masukkan dalam mesin basuh. Dengan menggunakan pilihan basuhan lembut disertai dengan sabun khas baju bayi, maka walid yakin basuhan ini adalah yang terbaik untuk pakaian anak walid. Sekali sekala walid menjengah ummi yang masih dalam bilik menyusukan Irfan. Melihat muka ummi yang masih cantik dan segar memegang Irfan dengan cermat  meyakinkan walid untuk melakukan kerja seterusnya.

Air yang telah masak walid tuang dalam baldi dan campurkan dengan air biasa agar air mandian Irfan nanti tidak terlalu panas dan sejuk. Mak walid kata rasa guna siku kalau panas tambah air biasa lagi tetapi jangan sampai sejuk. Semasa menyediakan air mandian Irfan tadi walid beritahu Ummi agar memberhentikan penyusuan dan bagi Thaqif Irfan berehat sebelum nak dimandikan. Ini kerana bayi akan mudah masuk angin kalau dimandikan sebaik sahaja selepas disusukan. Selesai sahaja walid sediakan air mandian dan kelengkapan lain, walid mengambil Irfan dari umminya yang dah menanggalkan pakaian Irfan. Semasa mengangkat Irfan justeru melihat wajahnya, walid merasa sangat seronok dan bauan Irfan yang walid hidu sangat menenangkan. Sebelum masuk bilik mandi walid baca surah al-fatehah dan ditiupkan di ubun-ubun Irfan serta kedua telingannya. Kemudian baca doa masuk tandas dan melangkah menggunakan kaki kiri ke dalam tandas. Walid lebih suka duduk di kerusi kecil dan meletakkan Irfan di paha walid sambil menyiramkan air bermula dari kepalanya sehinggalah keseluruh badan berbanding meletakkannya di dalam besen. Walid amat berhati-hati dengan muka Irfan. Tidak boleh disiran air sebaliknya hanya boleh disapukan air. Bekas muak susu harus dihilangkan agar tidak berlaku ruam pada mukanya. Kemesraan dan senyuman Irfan mengembirakan walid menandakan Irfan seronok badannya diuruti sabun mandian dan disirami air suam. Apabila selesai biasanya irfan akan merengek seketika menandakan belum puas main air tetapi walid tak boleh ikut kemahuan Irfan itu, bimbang nanti memudaratkan. Tiupan selawat dan doa dihembuskan ke kedua telinga Irfan agar tidak tersumbat dengan buih air. Tuala kecil lantas membaluti Irfan, jika lambat Irfan mungkin akan menggigil kesejukkan nanti.

Setelah selesai mandi, tugas mendandan diserahkan kepada ummi yang biasanya telah siap sedia dengan bedak, losyen, minyak, barut, lampin dan pakaian Irfan. Ummi akan bersembang dengan Irfan dan kadang-kadang ummi menyanyi untuk Irfan. Sedap nyanyian Ummi walid dengar tetapi pada Irfan belum lagi. Pernah juga semasa Ummi menyanyi Irfan merengek, lantas Ummi pun tukar lagu lain. pernah juga Ummi terus tak nyanyi...Irfan...irfan. Kekemasan dan wangian Irfan makin terserlah apabila Ummi dah siap mendandankannya. Biasanya Ummi akan sambung menyusukan Irfan dan selepas itu Irfan akan terlena. Walid pada masa ini telah siap sepnuhnya dan bersedia untuk ke tempat kerja. Semasa Ummi pantang dulu walid kene siapkan sarapan Ummi, Menungku Ummi, Pasangkan Barut Ummi dan sapukan jamu di badan ummi tetatapui sekarang tak lagi kerana ummi kata dah tak perlu sebab ummi dah habis pantang.


Baiklah..sebenarnya banyak lagi cerita walid. Nanti walid cerita lagi. Walid cerita sekadar suka-suka. Bagi walid tanggungjawab itu harus dilakukan kerana Allah bukan kerana pandangan orang.